APRIL 2024

Rm298 Juta Dilulus Bagi Projek Air Di Sarawak Tahun Ini


KUCHING: Sebanyak 46 projek berkaitan air membabitkan kos sebanyak RM6.01 bilion telah diluluskan di Sarawak melalui Rancangan Malaysia Ke-12.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata projek  terbabit meliputi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu.

"Jumlah peruntukan yang telah diluluskan bagi pelaksanaan tahun ini adalah sebanyak RM298 juta,"katanya di Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Majlis dirasmi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Fadillah berkata, projek diluluskan merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara, kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu.

Selain itu pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air.

"Kerajaan Persekutuan yakin dengan siapnya keseluruhan projek pelbagai skop ini akan dapat mengatasi isu bencana air, mengurangkan risiko hakisan pantai, meningkatkan penyampaian bekalan air dan pembetungan," tambahnya.